Monday, February 12, 2007

Sehelai daun nan hijau

Telah dua bulan musim hujan berlalu sehingga di mana-mana pepohonan tampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang ditempa angin.



“Apa khabar daun hijau?” sapanya. Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara yang datang.



“Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?” tanya daun hijau.



“Aku hampir tidak mendapat dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?” kata ulat kecil.



“Tentu, tentu. Marilah ke mari.” Jawab daun hijau.



Daun hijau berfikir, jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya sahaja aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi, tak apalah. Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju ke arah daun hijau.



Setelah makan sehingga kenyang, ulat berterima kasih kepada daun hijau yang telah merelakan sebahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Walaupun dirinya kini berlubang di sana sini, namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu untuk ulat kecil yang lapar.



Tidak lama berselang ketka musim panas datang, daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.



Demikianlah kehidupan kita. Apa yang terlalu bererti dalam hidup kita sehingga kita enggan berkorban sedikit sahaja untuk orang lain? Berkongsi kesenangan dan kepentingan diri sendiri memang tidak mudah, tetapi indah.



Jadikanlah berkorban itu sebagai sesuatu yang menyenangkan dan membawa sukacita tersendiri bagi kita. Kita tidak akan rugi apa-apa, sebaliknya Allah akan lebih mamberkati dan tetap memelihara kita. Wallahu’alam.

No comments: