Sudah agak lama tidak menulis sesuatu. Kadang-kadang terasa masa yang ada terlalu sedikit berbanding dengan perkara yang perlu dilakukan. Sejak kebelakangan ini, semakin banyak perkara yang datang dalam hidup setiap hari. Perkara yang tidak pernah terlintas akan berlaku pun telah berlaku. Semua ini adalah ketentuan Ilahi.
Teringat cerita bertemu dengan kawan sekampung yang hampir 10 tahun tidak berjumpa. Akhirnya kami berjumpa semula di tempat yang x pernah terfikir oleh akal. Melaka. Hubungan yang terputus satu masa dulu akhirnya terjalin kembali. Sejauh mana jalinan itu akan kekal, hanya Dia yang maha mengetahui.
Bila disemak-semak semula isi kandungan blog ini, baru tersedar kebanyakan tulisan adalah berkisar tentang bebrapa perkara sahaja. Perkara yang sememangnya remeh tetapi dikatakan itulah yang penting. Perkara yang boleh diibaratkan seperti serbuk perasa, sikit akan menyedapkan tetapi jika terlebih, ia memudaratkan. Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam blog ini hanya sekadar luahan rasa untuk menyedapkan jiwa. Mungkin sedikit yang membacanya dan tiada yang memahami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Biarlah perkara sebenar menjadi rahsia simpanan hati.
Bila bersendiri, banyak kisah-kisah lama datang menyapa. Zaman persekolahan, matrikulasi, kampus dan perkara-perkara yang berlaku di antaranya. Kebanyakan yang berlaku lebih hempedu dari madu. "Setitik madu mampu menghilangkan ingatan sepahit hempedu". Hidup tidak selalunya indah, hari pun tidak selalu cerah.
Kepada semua watak yang pernah menjayakan cerita kehidupanku, telah dihalalkan dan dimaafkan segala kesalahan. Semoga bertemu lagi kita dalam keadaan yang lebih baik.
Wallahualam...